suria

CEO Astronomer, Andy Byron akhirnya letak jawatan selepas kantoi curang di konsert Coldplay

Andy Byron dan Kristin Cabot kantoi berpelukan di konsert Coldplay, Rabu lalu.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Andy Byron, telah meletak jawatan selepas satu video memaparkan beliau memeluk rakan sekerjanya di konsert Coldplay menjadi tular dan mencetuskan pelbagai meme di media sosial.

Syarikat tersebut, Astronomer, yang beribu pejabat di New York, mengesahkan peletakan jawatan itu dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik ke LinkedIn, pada Sabtu.

"Pemimpin kami diharapkan menetapkan standard dalam kelakuan dan akauntabiliti. Namun baru-baru ini, standard tersebut tidak dipenuhi.

"Andy Byron telah meletakkan jawatannya," menurut kenyataan syarikat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Chris Martin tak sengaja kantoikan pasangan curang di konsert Coldplay

Firma itu turut memaklumkan bahawa satu siasatan dalaman telah dijalankan sebelum Byron mengemukakan peletakan jawatannya.

Kejadian bermula ketika konsert Coldplay di Foxborough, Massachusetts pada Rabu, apabila kamera jumbotron tertumpu kepada sepasang lelaki dan wanita yang sedang berpelukan di tempat duduk penonton. 

Reaksi pasangan itu mencuri perhatian ramai apabila mereka kelihatan terkejut dan panik, dengan lelaki tersebut segera tunduk menyembunyikan wajah manakala wanita itu menutup wajahnya.

Vokalis Coldplay, Chris Martin, turut memberi komen berseloroh di atas pentas,"Sama ada mereka sedang menjalinkan hubungan sulit atau mereka cuma sangat pemalu".

Tidak lama selepas itu, pengguna media sosial mula menyiasat identiti pasangan tersebut, yang akhirnya dikenal pasti sebagai Andy Byron, Ketua Pegawai Eksekutif Astronomer, manakala wanita itu didakwa sebagai Kristin Cabot, Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat yang sama.

Video tersebut meraih berjuta-juta tontonan di TikTok dan platform media sosial lain, sekali gus mencetuskan gelombang kecaman terhadap pasangan berkenaan yang terlibat dalam hubungan sulit sesama rakan sekerja.

Netizen mendakwa Byron dikatakan sudah bernikah dengan Megan Kerrigan Byron dan Cabot pula bercerai pada 2022. -Agensi

Artikel Lain