suria

Lelaki maut ‘disedut’ mesin MRI gara-gara pakai rantai logam

Insiden berlaku di Nassau Open MRI dekat Westbury, Amerika Syarikat. -Foto ABC News

KECUAIAN seorang individu mengundang padah apabila 'disedut' masuk ke dalam mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) gara-gara rantai logam yang dipakainya.

Insiden dilaporkan terjadi sekitar petang Rabu di Nassau Open MRI di Westbury, New York, Amerika Syarikat.

Lelaki berusia 61 tahun itu mengalami kecederaan parah dan dimasukkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Jabatan Polis Daerah Nassau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian menerusi talian 911.

"Dia memasuki bilik MRI tanpa kebenaran sewaktu prosedur imbasan sedang berlangsung," katanya.

Mesin pengimbas MRI menghasilkan daya tarikan magnetik yang kuat. -Foto NPR

Difahamkan, mangsa bukan seorang pesakit dan tidak memiliki kebenaran untuk masuk ke bilik berkenaan, namun dia dikatakan ditemani individu lain sewaktu kejadian.

"Mungkin berlakunya jerutan, sesak nafas mahupun kecederaan pada tulang belakang serviks sekiranya mangsa dihentam ke mesin," kata kakitangan kecemasan dan trauma, Dr. Payal Sud.

Sehingga kini, pihak Nassau Open MRI belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah yang terlibat dan kes diklasifikasikan sebagai kemalangan.

Menurut agensi Kawalan Makanan dan Dadah (FDA), Pengimbas MRI menghasilkan daya tarikan magnetik yang kuat dan menarik objek bermagnet termasuklah telefon bimbit, kunci, dan tangki oksigen sekaligus berpotensi mendatangkan bahaya kepada persekitaran. -Agensi

Artikel Lain