KASIH ibu membawa ke syurga.
Ungkapan berkenaan sesuai menggambarkan kisah seorang pekerja pembersihan ini yang mengikat tangan anak lelaki semasa dia bekerja agar pemuda tersebut sentiasa bersamanya.
Kisah anak beranak tersebut menjadi tular selepas video mereka dirakam oleh seorang pejalan kaki, awal bulan ini.
Klip video tersebut menunjukkan wanita berkenaan bersama anak lelakinya berhampiran sebuah kawasan pelancongan popular di bandar Xi'an, wilayah Shaanxi, China.
"Ini adalah ibu dan anak lelakinya. Sebelah tangan memegang penyapu untuk mencari rezeki, manakala sebelah lagi memegang anaknya," tulis individu berkenaan dalam perkongsiannya.
Walaupun identiti wanita itu tidak didedahkan, seorang kenalannya, Wang, memaklumkan bahawa dia berusia dalam lingkungan 50-an, manakala anak lelakinya pula berusia 30-an dan mengalami kecacatan mental.
"Dia terpaksa membawa anaknya ke tempat kerja kerana tidak mampu mengupah penjaga. Tali yang diikat itu membantu memastikan anaknya selamat, mengelakkannya daripada melintas jalan sesuka hati atau berlanggar dengan pejalan kaki," jelas Wang kepada media tempatan.
Menurut wakil Kumpulan Sanitasi Alam Sekitar Daerah Lianhu, wanita itu telah bekerja dengan syarikat mereka selama dua tahun.
"Dia hanyalah seorang pekerja bbiasa. Dia tidak pernah meminta derma awam dengan mempergunakan keadaan anaknya," ujar wakil syarikat tersebut.
"Namun, disebabkan gangguan daripada pengguna internet yang mahu berjumpa dengannya sejak video itu tular, dia kini memohon untuk dipindahkan kerja ke jawatan lain," tambahnya lagi. -Agensi