SEORANG anggota polis menerima pampasan selepas gambar punggungnya tersebar di Google Street View.
Insiden berlaku ketika kereta Google Street View sedang merakam gambar jalanan dan tanpa disedari gambar lelaki itu dalam keadaan tidak berpakaian di halaman rumahnya turut dirakam.
Gambar tersebut kemudian dimuat naik ke internet dan menjadi tontonan ramai di seluruh dunia.
Insiden itu berlaku di Buenos Aires, Argentina dan lelaki itu menerima pampasan lebih £9,000 (sekitar RM56,000).
Difahamkan, lelaki itu sedang berada di patio rumahnya ketika kamera Google secara tidak sengaja merakam imej dari sudut yang mendedahkan bahagian punggungnya.
Mangsa mendakwa dia berada di belakang dinding setinggi enam kaki, namun Google berhujah bahawa dinding itu tidak cukup tinggi untuk menghalang pandangan kamera.
Pada awalnya, mahkamah memihak kepada Google dengan hakim mendakwa lelaki itu sendiri yang bersalah kerana berjalan dalam keadaan tidak sesuai di kawasan terbuka rumah.
Hakim juga berpandangan bahawa hanya dia sahaja yang mampu mengenal pasti dirinya dalam gambar itu tetapi keputusan itu dibatalkan selepas rayuan difailkan.
Panel hakim rayuan memutuskan bahawa Google Argentina dan Google LLC bersalah menceroboh privasi lelaki berkenaan dan mengarahkan kedua-dua entiti itu membayar £9,000 (sekitar RM56,000) sebagai pampasan.
Hakim menyatakan bahawa meskipun wajah lelaki itu tidak kelihatan, lokasi rumahnya boleh dikenal pasti berdasarkan nombor rumah yang jelas dalam gambar.
“Ini melibatkan imej seseorang yang tidak dirakam di ruang awam, tetapi di dalam kawasan rumahnya sendiri, di belakang pagar yang lebih tinggi dari ketinggian purata manusia. Pencerobohan privasi ini nyata sekali berlaku,” kata mahkamah.
Hakim turut menambah bahawa tiada alasan munasabah bagi Google untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab, kerana tindakan tersebut telah menjejaskan maruah individu tersebut secara serius.
“Tiada siapa mahu ditayangkan kepada dunia dalam keadaan seperti hari pertama mereka dilahirkan,” ujar hakim. -Agensi