suria

Kapal bantuan Handala hampiri perairan Gaza, Israel ancam rampas jika enggan ubah haluan

Handala kini menghampiri perairan Gaza dengan membawa bekalan penting termasuk susu formula bayi, makanan dan ubat-ubatan. -Foto Instagram

SEORANG pegawai Israel mengancam untuk merampas kapal bantuan kemanusiaan yang menuju ke Semenanjung Gaza sekiranya ia enggan mengubah haluannya.

"Sekiranya kapal itu enggan menukar laluan dan terus menghampiri pantai Gaza, unit komando elit tentera laut Shayetet 13 akan diarahkan untuk merampas kapal tersebut dan menariknya ke Pelabuhan Ashdod," kata seorang pegawai Israel tanpa nama, seperti dilaporkan oleh akhbar Yedioth Ahronoth pada Sabtu.

Kapal yang dinamakan Handala itu dilaporkan belayar dari Syracuse, Itali, pada 13 Julai lalu dengan membawa 21 aktivis awam tidak bersenjata dari pelbagai negara, dalam usaha terbaru aktivis antarabangsa memecahkan kepungan yang dikenakan ke atas wilayah berkenaan.

Handala kini menghampiri perairan Gaza dengan membawa bekalan penting termasuk susu formula bayi, makanan dan ubat-ubatan.

Kapal itu turut mematuhi undang-undang maritim dan kemanusiaan antarabangsa, dan diurus oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC), sebuah gabungan aktivis yang menyelaraskan pelayaran bantuan ke Gaza.

Bulan lalu, tentera laut Israel memintas kapal bantuan Madleen di perairan antarabangsa berhampiran Gaza. 

Seramai 12 aktivis ditahan dan dihantar pulang, termasuk aktivis iklim terkenal Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Eropah dari Perancis, Rima Hassan.

Lebih membimbangkan, awal minggu ini, Handala telah mengalami gangguan komunikasi selama dua jam dengan beberapa dron dilaporkan berlegar mengelilingi kapal, menimbulkan kebimbangan serius terhadap kemungkinan campur tangan dari pihak Israel.

Walaupun komunikasi berjaya dipulihkan, penganjur menyatakan bahawa peningkatan aktiviti dron memberi isyarat bahawa campur tangan mungkin hanya menunggu masa. -Agensi

Artikel Lain