suria

Kereta dipandu wanita ‘terapung’ lepas terjatuh dalam lubang benam

Sebuah kereta terjatuh ke dalam lubang benam di Singapura. -Gambar media sosial

SEORANG pemandu wanita cedera selepas kereta yang dinaikinya terjatuh ke dalam lubang benam sedalam tiga meter yang berlaku secara tiba-tiba pada Sabtu.

Rakaman video tular menunjukkan sebuah kereta terapung di dalam lubang besar yang dipenuhi air, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.

Insiden sekitar pukul 5 petang itu berlaku di Jalan Tanjong Katong, Singapura.

Agensi Air Kebangsaan Singapura (PUB) mengesahkan dua lorong jalan telah terjejas dan sebuah kenderaan telah terjunam ke dalam lubang tersebut.

"Pemandu wanita berjaya diselamatkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” kata PUB.

Polis dan Penguasa Pengangkutan Darat turut berada di lokasi kejadian untuk mengawal keadaan dan memastikan keselamatan orang ramai.

Kedua-dua arah laluan jalan berkenaan ditutup sepenuhnya kepada trafik dan pengguna jalan raya dinasihatkan agar mengelak melalui kawasan itu serta menggunakan laluan alternatif.

Punca kejadian masih dalam siasatan, sementara kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan bagi menutup semula lubang dan memulihkan laluan trafik. -Agensi

Artikel Lain