SEORANG wanita berusia 23 tahun berikrar tidak akan berkahwin lagi selepas kematian mengejut suaminya, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat di media sosial China.
Lu yang berasal dari Jinzhong, wilayah Shanxi, China berkongsi rasa pilunya selepas kehilangan suami tercinta, Wu Tiexin, 36, yang meninggal dunia akibat komplikasi penyakit diabetes pada 13 Julai lalu.
Pasangan berkenaan menetap di Shuangyashan, Heilongjiang, di timur laut China.
Dalam satu hantaran menyentuh hati di media sosial, Lu menulis, awak kahwini saya dan bawa saya pulang pada 5 November 2023. Saya hantar awak pergi untuk menghiasi rumah kita dalam kehidupan seterusnya pada 13 Julai. Jangan sakit dan semoga sentiasa sihat di sana.
Pasangan berkenaan berkenalan pada akhir tahun 2020 dan berkahwin pada November 2023.
Walaupun tempoh perkahwinan mereka agak singkat, Lu menyifatkan ia sebagai detik yang paling bahagia dalam hidupnya.
Lu turut tersentuh dengan layanan mesra ibu bapa mertuanya yang disifatkan seperti keluarga sendiri.
Malah, mereka turut membiayai pengajiannya di kolej.
Kini, Lu bercadang untuk terus tinggal bersama keluarga mentuanya itu.
"Saya tidak akan berkahwin lagi. Kalau boleh, saya harap dapat membesarkan anak untuk memulakan hidup baru," katanya lagi.
Kebanyakan warga maya menyifatkan Lu sebagai seorang wanita yang setia, namun ada juga yang berpandangan bahawa dia berhak untuk mengecapi kebahagian lantaran masih muda. -Agensi