suria

Gadis parah rambut tersangkut pada permainan funfair, kulit kepala tercabut

Netley Marsh Steam and Craft Show adalah acara tahunan sejak 1971 di Hampshire. - Foto Netley Marsh Steam and Craft Show

SEORANG gadis mengalami kecederaan serius yang disifatkan sebagai 'mungkin mengubah hidup' selepas rambutnya tersangkut pada permainan di 'fun fair' di sebuah kawasan luar bandar.

Insiden membabitkan remaja berusia 18 tahun itu berlaku di permainan lantai berayun (oscillating floor) pesta Fun House sekitar pukul 11 malam, Sabtu lalu.

Kejadian berlaku semasa acara tahunan Netley Marsh Steam and Craft Show di Hampshire, United Kingdom.

Jururawat dari Hospital Southampton, Emma Perry berkata mangsa terjatuh dan rambutnya tersangkut pada alat penggelek (roller) di lantai permainan.

“Saya diberitahu oleh rakannya bahawa dia mengalami pendarahan, jadi saya menawarkan bantuan sebagai petugas perubatan pertama.

"Bila saya tiba, saya lihat hampir tiga suku kulit kepala gadis itu telah tercabut," katanya.

Perkhidmatan kecemasan segera dipanggil ke lokasi dan mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Permainan tersebut kini telah ditutup manakala penganjur acara, Charles Cole, menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan terpencil dan sedang disiasat.

“Kami adalah perniagaan keluarga, tiada siapa mahu mencederakan sesiapa. Malam tadi sangat mengejutkan, terutamanya bagi pemilik permainan tersebut.

“Keselamatan adalah keutamaan kami, dan kami amat bersimpati dengan gadis itu dan ibu bapanya,” katanya.

Acara tahunan Netley Marsh Steam and Craft Show yang bermula sejak 1971 dianggap sebagai pertunjukan stim dan kraftangan terbesar di Hampshire.

Jurucakap Polis Hampshire pula mengesahkan mereka menerima panggilan pukul 10.53 malam dengan laporan membabitkan wanita muda mengalami kecederaan serius di kepala ketika menaiki permainan di acara tersebut. -Agensi

 

Artikel Lain