TULAR rakaman video di media sosial menunjukkan suasana cemas ketika bangunan bergegar akibat gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud yang menggegarkan Semenanjung Kamchatka, Rusia pada awal pagi Rabu,
Antara video yang mencuri perhatian adalah suasana di sebuah hospital di Kamchatka yang dikongsi rangkaian berita Rusia, RT.
Rakaman dari dewan pembedahan itu menunjukkan detik dramatik ketika doktor meneruskan pembedahan walaupun gempa bumi sedang berlaku.
Walaupun struktur bangunan bergegar kuat, pasukan perubatan dilihat tenang dan fokus sehingga pembedahan selesai.
Menurut Kementerian Kesihatan Rusia, prosedur berjaya dilaksanakan dan pesakit kini dalam fasa pemulihan.
Sementara itu, pelabuhan berhampiran pusat gempa dilaporkan banjir akibat ombak tsunami.
Penduduk di kawasan pesisir pantai bertindak segera menyelamatkan diri ke kawasan pedalaman.
Gegaran kuat ini turut mencetuskan amaran tsunami ke beberapa bahagian di sekitar Lautan Pasifik, termasuk Alaska, Hawaii dan pantai barat Amerika Syarikat.
Gelombang tsunami turut dilaporkan melanda Jepun, manakala amaran berjaga-jaga telah dikeluarkan di China dan New Zealand. -Agensi