EMPAT ekor paus ditemukan terdampar di pesisir pantai Jepun beberapa jam selepas gempa bumi kuat melanda Rusia pada Rabu.
Visual yang memaparkan mamalia laut itu terdampar di tepi pantai dikongsi media, termasuk BNO News yang menyiarkan rakaman ombak berulang kali menghempas badan paus berkenaan.
Insiden itu berlaku selepas gempa bumi berukuran 8.8 magnitud menggegarkan pesisir pantai Rusia, sekali gus mencetuskan tsunami di kawasan pesisir Kepulauan Kuril dan pulau besar Hokkaido di utara Jepun.
Amaran turut dikeluarkan untuk beberapa kawasan lain termasuk California, Alaska dan Hawaii di Amerika Syarikat, serta pesisir menuju ke New Zealand, menurut laporan AP.
ARTIKEL BERKAITAN: Rusia dilanda gempa bumi, Jepun keluar amaran tsunami... Gelombang pertama setinggi 30cm tiba di timur Hokkaido
Agensi Meteorologi Jepun melaporkan tsunami setinggi 50 sentimeter melanda pelabuhan Ishinomaki, sebuah bandar pelabuhan utama di wilayah Miyagi di pantai timur.
Sebanyak 16 lagi lokasi di sepanjang pantai Pasifik turut merekodkan gelombang sehingga 40 sentimeter, dari Hokkaido ke kawasan timur laut Tokyo.
Penyiar awam kebangsaan Jepun, NHK World memberi amaran gelombang tsunami jauh lebih kuat berbanding ombak biasa, malah ketinggian 50 sentimeter mampu membawa daya sehingga 200 kilogram.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai agar terus berwaspada kerana gelombang yang lebih besar mungkin menyusul. -Agensi.