SEORANG lelaki tergamak membunuh isteri dan ibu mentuanya sebelum cuba menyembunyikan jenayah kejam itu dengan mengebumikan mayat mereka dan kemudian menanam pokok pisang di atas kubur sebagai helah mengaburi pihak berkuasa.
Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Mayurbhanj, Odisha, India.
Menurut siasatan awal pihak polis, suspek dikenali sebagai Debashish Patra, dipercayai membunuh isterinya, Sonali Dalal, 23, dan ibu mentuanya, Sumati Dalal, pada 19 Julai lalu.
Difahamkan, Patra dan isterinya menghadapi masalah rumah tangga sejak kebelakangan ini, dan Sumati cuba membantu memulihkan hubungan mereka.
Namun begitu, segala-galanya bertukar tragedi apabila Patra didakwa memukul kedua-dua mangsa dengan batu sehingga maut ketika mereka sedang tidur.
Lelaki itu kemudian mengebumikan mayat kedua-dua mangsa di kebun limau di belakang rumahnya, dan kemudian menanam pokok pisang di atas kubur berkenaan bagi mengaburi mata penduduk setempat dan pihak berkuasa.
Bagi mengukuhkan penipuannya, Patra turut membuat laporan polis mendakwa kedua-dua wanita tersebut hilang.
Bagaimanapun, helahnya terbongkar apabila penduduk curiga melihat kesan gemburan tanah di kebunnya, lalu membuat laporan kepada polis.
Patra akhirnya mengaku melakukan pembunuhan, sebelum membawa pihak polis ke lokasi kubur isteri dan ibu mentuanya.
Mayat kedua-dua mangsa yang telah reput ditemui tertanam di kebun tersebut dan segera dihantar untuk proses bedah siasat. -Agensi