KECUAIAN seorang doktor pelatih yang tertidur sewaktu bertugas bertukar tragedi apabila meragut nyawa seorang pesakit.
Mangsa, Sunil yang kritikal setelah dilanggar lari sewaktu melintas jalan raya dimasukkan ke Jabatan Kecemasan, namun didakwa tidak menerima rawatan yang sepatutnya.
Insiden dipercayai berlaku sekitar pukul 1 pagi waktu tempatan di sebuah hospital kerajaan di Meerut, Uttar Pradesh, India pada Isnin.
Video berdurasi 33 saat yang tular di media sosial itu memaparkan seorang doktor sedang lena meskipun cuba dikejutkan oleh seorang pelawat, sekaligus mengundang kemarahan orang ramai.
ARTIKEL BERKAITAN: Doktor didakwa sebabkan kematian wanita hamil, gagal beri rawatan segera kerana keluarga tak mampu bayar deposit
Dalam pada itu, identiti doktor dikenal pasti sebagai Dr Aniket, seorang doktor pelatih yang bertugas ketika kejadian.
Dr Aniket serta Dr Bhupesh Kumar Rai dari Jabatan Ortopedik, dipecat serta-merta susulan cuai sehingga pesakit meninggal dunia.
"Kedua-dua staf telah pun dipecat dan tiga pegawai penyiasat khas dilantik bagi mengendalikan kes. Laporan akan dikeluarkan dalam tempoh tiga hari," kata Pengarah Kolej Perubatan Memorial Lala Lajpat Rai, Dr RC Gupta.
Warga maya yang mengecam kejadian berkenaan mempersoalkan rawatan kecemasan di hospital tersebut.
"Ini bukan sahaja bentuk pengabaian, malah tiada beza dengan suatu kegiatan jenayah," antara komen warga maya. -Agensi