suria

Nak elak aktiviti jenayah dikesan, lelaki tanam pokok ganja belakang reban ayam

Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menanam pokok ganja di rumahnya. -Foto Polres Malang

SEORANG lelaki berusia 43 tahun ditahan polis selepas disyaki menanam pokok ganja di kawasan rumahnya.

Lelaki itu ditahan Unit Narkotik Polis Malang, Indonesia dalam satu serbuan pada Rabu.

Hasil pemeriksaan lanjut di kediaman itu membawa kepada penemuan empat pokok ganja yang ditanam secara tersembunyi di belakang reban ayam.

"Kami menahan suspek di rumahnya tanpa sebarang pergelutan. Suspek menanam ganja secara rahsia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," kata Pegawai Perhubungan Awam Polis Malang, AKP Bambang Subinajar pada Khamis.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 61.4 gram ganja serta beberapa biji benih kering yang dipercayai sedia untuk ditanam.

Polis juga merampas sebuah telefon bimbit milik suspek sebagai bahan bukti.

Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Malang untuk siasatan lanjut.

Pihak polis kini sedang menyiasat sumber benih ganja tersebut dan mengenal pasti jika terdapat sebarang rangkaian pengedaran. -Agensi

Artikel Lain