suria

Gadis tikam ibu sedang solat sampai mati... Minta jiran jaga 2 adik lepas buat pengakuan

Seorang remaja 18 tahun ditahan selepas didakwa membunuh ibunya sendiri. -Foto Tribunnews

SEORANG wanita berusia 50 tahun maut selepas dipercayai dibunuh anak perempuannya dalam satu kejadian menyayat hati di kediaman mereka pada Sabtu.

Mangsa difahamkan sedang menunaikan solat Zuhur sekitar pukul 1 tengah hari ketika diserang suspek berusia 18 tahun menggunakan alat penumbuk sambal sebelum ditikam dengan senjata tajam.

Kejadian meragut nyawa itu berlaku di Kelurahan Panorama, Bengkulu, Indonesia.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Daerah Gading Cempaka, Inspektor Putra Agung, mangsa maut selepas ditikam tiga kali di bahagian leher dan dada, tetapi terlebih dahulu telah dipukul di kepala.

"Pelaku melarikan diri dari rumah sebaik sahaja kejadian. Suspek memaklumkan kepada jiran bahawa dia telah membunuh ibunya serta meminta mereka menjaga dua adiknya," katanya.

Penduduk yang terkejut dengan pengakuan itu segera menghubungi pihak polis sebelum suspek berjaya diberkas di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

Berdasarkan keterangan jiran, remaja terbabit dikatakan mempunyai sejarah gangguan mental, namun perkara itu masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

Kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Bengkulu untuk mengenal pasti motif sebenar pembunuhan kejam itu. -Agensi

Artikel Lain