suria

Puting dewasa laku keras! Kaedah baharu atasi stres, masalah tidur

Terdapat pelbagai warna dengan bahagian puting lutsinar.

PUTING bayi untuk kegunaan orang dewasa semakin menjadi trend masyarakat masa kini.

Ia berikutan, produk itu didakwa mampu meredakan keresahan dan membantu meningkatkan kualiti tidur pengguna.

Fenomena pelik ini dikesan di China, apabila puting bayi bersaiz dewasa dijual pada harga antara 10 hingga 500 yuan (sekitar RM6.50 hingga RM325), seperti dilaporkan portal berita The Cover. 

Produk tersebut direka lebih besar daripada versi bayi dan hadir dalam pelbagai warna dengan bahagian puting lutsinar.

Lebih menarik, permintaan terhadap produk berkenaan mencanak naik di platform beli-belah dalam talian, dengan sesetengah peniaga mendakwa mampu menjual lebih 2,000 unit sebulan.

Segelintirnya mendakwa puting itu bukan sahaja melegakan tekanan dan kesukaran tidur malam, malah membantu perokok berhenti merokok serta memperbaiki teknik pernafasan.

Namun begitu, para pakar kesihatan memberi amaran tentang kesan jangka panjang produk ini.

Tang Caomin, seorang doktor gigi di Chengdu, memberi amaran bahawa penggunaan berlebihan boleh mengubah struktur gigi dan menyebabkan kesukaran membuka mulut serta rasa sakit ketika mengunyah.

“Jika digunakan lebih tiga jam sehari, susunan gigi boleh berubah dalam masa setahun,” jelasnya. 

Zhang Mo, seorang ahli psikologi dari Chengdu, pula menegaskan bahawa penggunaan puting oleh orang dewasa mencerminkan keperluan emosi yang tidak ditangani dengan baik.

“Penyelesaiannya bukanlah dengan melayan diri seperti kanak-kanak, tetapi berdepan dan menyelesaikan masalah dengan matang,” katanya kepada media tempatan. -Agensi

Artikel Lain