SEORANG lelaki Britain berusia 38 tahun meninggal dunia di Turki sebelum sempat menjalani prosedur pemindahan rambut di sebuah klinik kosmetik terkenal di Istanbul.
Mangsa dilaporkan jatuh sakit secara tiba-tiba ketika berada di fasa persediaan di klinik Dr. CINIK di daerah Besiktas di Istanbul, Turki sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.
Walaupun menerima rawatan segera, dia disahkan meninggal dunia.
Menurut klinik tersebut, lelaki berkenaan pernah menjalani pemindahan rambut berjaya di premis sama pada Julai 2024 dan kembali untuk prosedur kedua.
Klinik menafikan dakwaan bahawa kematian berlaku semasa atau akibat pembedahan, sebaliknya menegaskan ia berlaku sebelum prosedur bermula, dan semua ujian serta penilaian perubatan telah dijalankan lebih awal.
Pihak berkuasa Turki kini menjalankan siasatan dan menyiasat kemungkinan unsur 'kecuaian' dalam kes berkenaan.
Bedah siasat telah dilakukan di Institut Perubatan Forensik sebelum mayat dihantar pulang ke United Kingdom.
Jurucakap Pejabat Luar Britain (FCDO) mengesahkan mereka memberi bantuan konsular kepada keluarga mangsa dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan. -Agensi