KRISIS kewangan yang berpanjangan meragut nyawa seorang bapa di Kerala, India, selepas dia dilaporkan tidak mampu menanggung yuran kemasukan anaknya ke kolej kejuruteraan.
Mangsa, V.T. Shijo, 47, ditemui tergantung di kawasan hutan Moongampara, daerah Pathanamthitta pada Ahad petang.
Menurut pihak berkuasa, mangsa dipercayai mengalami tekanan mental kerana gagal mengumpul wang bagi membiayai yuran kemasukan anaknya ke sebuah kolej kejuruteraan di Erode, Tamil Nadu.
Lebih menyedihkan, kegagalan itu berpunca daripada gaji isterinya, Lekha Raveendran, yang juga seorang guru sekolah, tidak dibayar selama lebih 12 tahun.
Difahamkan, Mahkamah Tinggi Kerala pernah mengarahkan agar jabatan pendidikan melepaskan bayaran gaji itu secara retrospektif.
Namun pihak terbabit enggan melakukannya kerana isu birokrasi, sekali gus mengakibatkan keluarga mangsa terus terhimpit.
Ahli keluarga mangsa turut mendakwa, pihak pengurusan sekolah pernah campur tangan dalam isu tersebut dengan menghubungi pejabat pendidikan daerah.
Malangnya, tiada sebarang maklum balas diterima. -Agensi