SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dijumpai masih hidup di dalam sebuah beg pakaian yang disimpan di ruang bagasi sebuah bas dalam kejadian pada Ahad lalu.
Menurut Ketua Detektif Simon Harrison, pemandu bas menyedari ada pergerakan mencurigakan di dalam beg selepas seorang penumpang meminta akses ke ruang bagasi.
Perkara itu disedari pemandu bas ketika berhenti di Kaiwaka, New Zealand, kira-kira 100 kilometer dari Auckland.
Apabila beg dibuka, pemandu terkejut melihat seorang kanak-kanak perempuan di dalamnya.
Simon memaklumkan bahawa kanak-kanak itu berada dalam keadaan sangat panas, namun tidak mengalami kecederaan fizikal yang ketara.
Mangsa berusia dua tahun itu segera dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut.
Susulan itu, seorang wanita berusia 27 tahun ditahan dan didakwa atas kesalahan mengabaikan kanak-kanak.
Menurut dokumen mahkamah, wanita itu menaiki bas dari Whangarei ke Auckland dan didakwa meletakkan anak kecil itu dalam ruang bagasi.
Wanita tersebut dibawa ke Mahkamah Daerah North Shore dan akan kembali ke mahkamah pada Selasa.
Peguamnya memohon agar identiti tertuduh (anak guam) tidak didedahkan sebelum membuat pengakuan. -SkyNews