suria

Suami isteri ditemukan tak sedarkan diri dalam rumah... Ada nota tulisan tangan, botol racun tikus di sisi mayat

Kedua-dua mangsa dipercayai minum racun tikus. -Foto Detik.com

AKIBAT beban kewangan yang dialami, sepasang suami isteri bertindak nekad meminum racun tikus.

Mangsa yang masing-masing berusia 57 dan 50 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam rumah mereka di Tulungagung, Jawa di Indonesia.

Lebih menyedihkan apabila terdapat surat wasiat berhampiran jasad mangsa yang meminta dia dan isteri tidak diselamatkan.

"Keluargaku, aku pesan, aku mati jangan diselamati, tidak usah diselamati. Pesanku jaga ibu. 

"Kakak minta maaf kepada keluarga semua. Aku sama Gini jadikan satu kalau memakamkan," demikian wasiat bertulis tangan yang berada di sisi mangsa.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Ahad.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pucanglaban, Inspektor Pertama Bilal Ahmar, mayat kedua-dua mangsa ditemukan anak saudara mereka yang pelik, apabila melihat lampu halaman masih terbuka sehingga pagi.

Dia kemudian masuk melalui pintu belakang rumah sebelum melihat ibu dan bapa saudaranya berada dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.

Panik dengan situasi tersebut, dia kemudiannya menghubungi polis.

"Hasil pemeriksaan menemukan dua botol cecair racun tikus," ujarnya.

Tambah Bilal, mangsa juga meninggalkan surat wasiat yang meminta dikuburkan bersama isteri di dalam satu liang.

Susulan itu, dia mengesyaki pasangan suami isteri terbabit membunuh diri kerana mengalami masalah kewangan.

Malah, tiada tanda-tanda kekerasan dilihat pada tubuh kedua-dua mangsa.

Sebagai peringatan, perbuatan membunuh diri adalah haram dalam Islam dan semua pihak perlu menjauhinya. -Agensi

Artikel Lain