SEORANG guru mengalami bengkak di kepala dan lebam mata kiri selepas diserang pelajarnya yang tidak berpuas hati kerana gagal memperoleh markah penuh dalam salah satu subjek bagi peperiksaan pertengahan penggal.
Dia juga nekad untuk memfailkan aduan berhubung serangan yang dilakukan pelajar Gred 11 itu.
Menurut laporan media tempatan, insiden yang berlaku di sebuah sekolah swasta pada 5 Ogos lalu, berpunca daripada rasa kecewa pelajar berusia 17 tahun itu yang menerima markah 18 daripada 20 dalam peperiksaan.
Dia pada awalnya menghampiri guru tersebut dan bertanya mengapa tidak memperoleh markah penuh.
Namun selepas guru terbabit menjelaskan bahawa dia tidak menunjukkan proses kerja seperti dikehendaki soalan, dia mula menunjukkan protes dengan mencari guru lain.
Selepas menerima penjelasan yang sama diterima, pelajar itu kembali ke bilik darjah dan meminta gurunya menambah markah.
Ketegasan gurunya itu membuatkan dia menjadi gelisah seterusnya menendang meja guru dan meninggalkan kelas.
Sekitar 10 minit kemudian, dia kembali dan menuntut guru itu memohon maaf sebelum menumbuk mukanya di hadapan lebih 20 rakan sekelas.
Serangan itu menyebabkan guru itu mengalami lebam mata kiri, bengkak di kepala dan tulang rusuk yang meradang sehingga memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Laporan polis dibuat pada 8 Ogos dan guru terbabit dijadualkan memberi kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, ibu bapa pelajar itu juga menghubungi guru itu untuk memohon maaf.
Pelajar tersebut telah digantung sekolah dan telah mengemukakan permohonan untuk berhenti. -Agensi