SEORANG pekerja kilang kelapa sawit maut selepas terperangkap dalam tangki metanol selama lebih dari satu jam.
Mangsa disyaki menyedut gas metanol secara berlebihan, sebelum pengsan dan akhirnya terperangkap di dalam tangki berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 1 petang di Ciwandan, Cilegon, Indonesia.
Penyelia Tenaga Kerja di Pejabat Tenaga Kerja dan Transmigrasi Banten, Rahmatullah berkata, pada masa kejadian, petugas sedang melakukan kerja-kerja pemindahan metanol secara manual dari satu tangki ke tangki yang lain.
"Setelah bahan metanol dikumpulkan, pihaknya mendapati masih ada sisa yang berbaki. Namun, hos tidak dapat mencapai kedalaman yang betul.
"Susulan itu, mangsa turun ke dasar tangki bagi memastikan cecair kimia tersebut dapat dikeluarkan sepenuhnya," jelasnya.
Rakan mangsa pada awalnya cuba menghulurkan bantuan, namun berdepan risiko yang tinggi ekoran terdedah kepada bahan kimia secara berlebihan.
"Setelah menerima laporan pada pukul 1 petang, pihak kami bergegas ke lokasi.
"Proses mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira dua jam," kata Pegawai Bomba Cilegon, Aldi Tri Tauchid.
Mangsa sempat dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. -Agensi