BIARPUN meraih pendapatan bulanan yang agak selesa, seorang warga emas dan anak perempuannya 'rela' tinggal di dalam rumah yang dipenuhi timbunan sampah.
Nachiko Tanaka, 83, dan anak perempuannya Akane, 47, mendiami empat unit daripada tujuh unit flat milik mereka di Tokyo, Jepun, sementara unit selebihnya disewakan.
Walaupun memperoleh lebih daripada 400,000 yen (sekitar RM11,406) sebulan hasil sewa dan turut menerima wang pencen mendiang bapa, dua beranak itu hidup dalam keadaan yang tidak terurus.
Kehidupan mereka berubah drastik selepas kematian suami Nachiko, menyebabkan kedua-duanya hilang arah dan tidak berupaya menguruskan diri.
Rumah mereka dipenuhi timbunan sampah, makanan tamat tempoh, dan barangan dibeli tanpa digunakan.
Kisah dua beranak ini mula mendapat perhatian selepas muncul dalam rancangan TV Jepun, Can I Come to Your House? yang menampilkan rumah-rumah unik atau luar biasa di seluruh Jepun.
"Kami beli apa yang kami suka, tapi tak sempat guna. Lama-kelamaan ia menimbun. Bila mula kemas, kami letih dan putus asa," kata Nachiko, yang berasal daripada keluarga kaya.
Warga maya meluahkan simpati terhadap nasib dua beranak berkenaan dan berharap mereka segera mendapat bantuan daripada segi psikologi.
"Ternyata, walaupun tanpa beban kewangan, ada orang tetap hidup dalam keadaan teruk.
"Saya harap mereka dapat bantuan psikologi dan keluar dari situasi ini. Pasti ayah mereka tak mahu lihat mereka begini," komen netizen. -Agensi