SEORANG kanak-kanak perempuan diseksa oleh tiga individu kerana disyaki mencuri snek dan wang ringgit daripada sebuah warung.
Lebih menambah rasa sedih apabila pemilik warung serta dua anak lelakinya dikatakan turut memukul, menendang, memijak serta mencucuh rokok ke badan mangsa.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 3 pagi di Padang Lawas, Sumatera Utara, Indonesia pada 26 Jun lalu.
Setibanya di lokasi, waris menyaksikan anaknya sudah pun diikat di bahagian tangan dan kaki menggunakan seutas tali berwarna hitam.
"Menerusi paparan kamera litar tertutup (CCTV), sewaktu anak saya mengambil jajan, tiba-tiba anak suspek terbangun. Tapi, tak masuk akal rasanya anak saya keluar waktu sebegitu," luahnya.
Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak berusia 10 tahun itu mengalami tangan bengkak dan membiru serta lebam pada pipinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak Dua Tahun Didera Teman Lelaki Ibu
Sementara itu, suspek menuntut ganti rugi sebanyak Rp 15 juta (RM3,893) dan mengarahkan ayah mangsa menandatangani surat perjanjian untuk melunaskannya dalam tempoh dua bulan.
Mendengarkan permintaan suspek, Elviani Harahap, 33 selaku ibu mangsa berasa buntu ekoran pendapatan harian mereka yang tidak seberapa.
"Mana nak dapat Rp 15 juta (RM3,893)? Setahun pun kalau dikumpul kita tak mampu," katanya yang kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Palas.
Difahamkan, setelah orang tuanya bercerai, kanak-kanak malang itu tinggal bersama ayah dan neneknya di Sibuhuan Jae, tidak jauh dari restoran berkenaan.
"Belum dipastikan sama ada berlakunya kes kecurian, kerana barang bukti tidak ditemukan," kata Ketua Sub Bahagian Perhubungan Awam Polis Palas, Brigedier Ginda K. Pohan.
Sehingga kini, siasatan kes masih lagi berjalan. -Agensi