TINDAKAN seorang lelaki warga emas 'menguji keselamatan' cendawan liar dengan memberinya kepada anjing peliharaan terlebih dahulu berakhir dengan tragedi apabila seluruh ahli keluarganya dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan.
Kejadian berlaku pada 13 Julai lalu apabila lelaki berusia 74 tahun dari wilayah Sichuan, China itu menemui beberapa tangkai cendawan liar yang tumbuh di tanah ladang herba miliknya.
Menurut anak lelakinya yang dikenali sebagai Jiang, bapanya menyangka cendawan tersebut sama seperti cendawan anai-anai yang biasa dijual di pasar tempatan kerana bentuknya yang putih dan licin.
Meskipun sedar bahawa cendawan liar boleh menjadi beracun, lelaki berkenaan enggan membuangnya.
Sebaliknya, dia memasaknya dan memberi sedikit kepada anjing peliharaannya sebagai ujian sama ada ia selamat untuk dimakan.
Selepas dua hari, apabila tiada tanda-tanda aneh ditunjukkan oleh anjing tersebut selain hilang selera makan, lelaki itu beranggapan cendawan berkenaan tidak berbahaya.
Dia kemudian memasaknya untuk dimakan bersama isteri dan anak lelakinya.
Namun, tidak lama selepas mencubanya, kira-kira tiga jam kemudian, mereka bertiga mengalami loya dan cirit-birit.
Ketiga-tiganya segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.
Kisah mereka menjadi tular di media sosial China dan mendapat pelbagai reaksi netizen.
"Itu harga yang mereka bayar kerana tidak menghormati nyawa haiwan," tulis seorang pengguna.
"Sungguh jahil. Ada makanan yang manusia boleh makan, tapi tidak untuk anjing, dan sebaliknya," kata seorang lagi. -Agensi