suria

Kru kabin tak sedar pesawat tersasar ‘airport’, sama keliru dengan penumpang... Air Asia beri penjelasan

Penumpang cemas apabila mengetahui pesawat dinaiki tersalah destinasi.

SYARIKAT penerbangan tambang rendah Air Asia kecoh apabila pesawat D7 506 yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan dari Kuala Lumpur, tersasar destinasi.

Pada asalnya pesawat berkenaan dijadualkan tiba di Incheon pada Rabu, 7.50 malam waktu tempatan.

Namun, ia dilaporkan mendarat di Gimpo yang jaraknya 35 kilometer dari Incheon, pada 8.08 malam selepas kelihatan berlegar di ruang udara.

Lebih mengejutkan apabila tiada kru yang menyedari perkara tersebut sehinggalah dimaklumkan salah seorang penumpang yang kehairanan melihat kawasan persekitaran lapangan terbang berkenaan.

Berkongsi cerita, Lee Mi-hyun berkata, selepas kapten mengumumkan mereka telah tiba di Incheon, orang ramai berdiri untuk mengambil beg dari ruang atas dan melihatkan ke luar tingkap.

Apabila menyedari kawasan persekitaran yang berbeza, segelintirnya memeriksa telefon mereka dan mendapati destinasi ketibaan adalah, Gimpo.

Dia yang pulang dari percutian di Malaysia bersama suami dan anak perempuan berusia lapan tahun kemudiannya memaklumkan insiden tersebut kepada kru kabin.

"Semua orang panik. Nampaknya kru kabin tidak tahu kami telah mendarat di Gimpo sehingga penumpang memberitahu mereka," kata wanita berusia 40-an itu.

Malah, Mi-hyun terkejut apabila salah seorang kru menyatakan dia perlu menghubungi ibu bapanya yang ketika itu sedang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Dakwanya lagi, kru gagal mengendalikan situasi dengan secukupnya dalam tempoh dua jam sebelum pesawat berlepas ke Incheon.

"Mereka (kru kabin) kelihatan sama keliru dengan penumpang. Tiada air ditawarkan dan hampir tiada makanan yang tinggal di atas kapal, menyebabkan penumpang dengan kanak-kanak kecewa. 

"Ada yang berkata mereka lebih suka turun di Gimpo sebelum pesawat itu berlepas ke Incheon," katanya.

Seorang lagi penumpang dikenali sebagai Ryu turut mendakwa, insiden yang berlaku itu membuatkan syarikat penerbangan berkenaan dikritik kerana gagal memberikan penjelasan yang jelas tentang situasi itu.

“Sepanjang dua jam sebelum berlepas ke Incheon sekali lagi, tiada penjelasan jelas mengenai punca kesilapan pendaratan atau sebarang usaha untuk meyakinkan penumpang,” katanya.

Dalam pada itu, Korea Airports Corp menyatakan terdapat 'masalah' di Lapangan Terbang Incheon yang menyebabkan penerbangan itu melencong ke Gimpo.

Tambahnya, pesawat terbabit berlepas ke Incheon kira-kira dua jam kemudian pada 10.17 malam selepas mengisi minyak.

Kapten dan anak kapal memohon maaf berhubung sistem pengumuman awam ketika pesawat itu menuju ke Incheon, di mana ia mendarat pada 10.59 malam.

Insiden berkenaan membuatkan AirAsia X mengeluarkan kenyataan pada Khamis, menjelaskan bahawa penerbangan itu dilencongkan ke Gimpo kerana mengisi minyak berikutan kesesakan lalu lintas udara di Incheon akibat keadaan cuaca buruk.

Syarikat penerbangan itu berkata kapten mengikut prosedur operasi standard, termasuk memastikan penumpang dimaklumkan mengenai lencongan dalam bahasa Inggeris pada mulanya. 

Bagaimanapun, terdapat salah komunikasi dalam pengumuman kru kabin semasa mendarat.

Ketua Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata, pihaknya akan menyemak pengumuman dalaman dan proses perkongsian maklumat dalam pesawat untuk memastikan kejelasan yang lebih dalam situasi sedemikian.

Tambahnya, baucar perjalanan akan ditawarkan kepada penumpang yang terjejas sebagai tanda muhibah. -Agensi

Artikel Lain