SEORANG pempengaruh wanita ditahan berhubung kes pengubahan wang haram bernilai 400 juta rupee India (RM19.26 juta).
Suspek, Sandeepa Virk, yang memiliki 1.2 juta pengikut di Instagram didakwa memperoleh harta melalui cara penipuan.
Dia dikenali sebagai pemilik laman web Hyboocare.com, sebuah platform jualan produk kecantikan.
Namun, hasil siasatan mendapati produk tersebut tidak wujud, malah laman web itu tidak mempunyai fungsi pendaftaran pengguna.
Selain itu, nombor WhatsApp yang dipaparkan tidak aktif dan tiada maklumat jelas, sekali gus menunjukkan ia hanyalah operasi palsu yang didakwa digunakan sebagai helah untuk mengubah wang haram.
Virk ditahan selepas agensi penguat kuasa undang-undang kewangan India menjalankan operasi penggeledahan pada Selasa dan Rabu di beberapa lokasi di Delhi dan Mumbai.
Kes itu disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002. -Agensi.