suria

Suami isteri mengaku bunuh, bakar bayi baru lahir kerana tak mampu jaga

Polis Khon Kaen berjaya menahan pasangan suami isteri yang didakwa membunuh dan membakar bayi mereka. -Foto ThaiRath

SEPASANG suami isteri mengaku bersalah atas tuduhan membunuh bayi mereka yang baru dilahirkan dan membakar mayat mangsa dalam tanur  arang di rumah seorang rakan.

Insiden terbongkar selepas seorang penduduk menemui mayat bayi malang itu di dalam tempat pembakaran berkenaan yang terletak berhampiran ladang tebu, pada Ahad lalu.   

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Ban Fang, Khon Kaen, Thailand.  

Penduduk tersebut segera melaporkan penemuan itu kepada Balai Polis Ban Fang.

Polis kemudian memulakan siasatan dengan meneliti rakaman CCTV di kawasan berkenaan dan mengesan sepasang individu menunggang motosikal berhampiran lokasi kejadian. 

Wanita dalam rakaman tersebut dilihat membawa sebuah bakul plastik berwarna merah jambu yang disyaki mengandungi mayat bayi tersebut.

Rakaman CCTV juga menunjukkan pasangan itu mengunjungi seorang rakan, yang merupakan pemilik ladang tebu di mana tanur arang itu berada.

Pasangan yang dikenal pasti sebagai Pongsathon, 30, dan Panadda, 34, kemudian ditahan di rumah mereka yang terletak berdekatan.

Pada mulanya, pasangan itu mendakwa bayi mereka meninggal dunia semasa proses kelahiran, dan mereka membawa mayat bayi itu untuk dibakar dalam tanur.

Namun, hasil bedah siasat mendedahkan bayi itu mengalami kecederaan akibat dipukul dengan objek keras sebelum meninggal dunia.

Panadda akhirnya mengaku bahawa dia telah membunuh bayinya, sehari sebelum mayat itu ditemukan, dengan menutup hidung mangsa menggunakan selimut sehingga sesak nafas dan meninggal dunia.

Dia dan suaminya kemudian membakar mayat bayi itu dalam tanur arang.

Panadda menjelaskan bahawa tekanan kewangan menjadi punca mereka bertindak sedemikian kerana bimbang mereka tidak mampu menjaga bayi tersebut. -Agensi

Artikel Lain

Ardell Aryana juga ditahan Israel