PIHAK berkuasa Mexico melaporkan penemuan enam kepala manusia tanpa badan di sepanjang jalan utama yang menghubungkan negeri Puebla dan Tlaxcala, kawasan yang sebelum ini jarang terpalit dengan keganasan ekstrem.
Menurut kenyataan pejabat pendakwa raya pada Selasa, mayat tersebut pertama kali ditemui oleh pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan, sebelum laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
Siasatan segera dilancarkan, dan pihak pendakwa mengesahkan bahawa kepala-kepala yang dijumpai di negeri Tlaxcala adalah milik lelaki.
Beberapa jam kemudian, satu lagi kepala serta tubuh manusia yang lain turut ditemui di negeri Colima, di bahagian barat negara itu.
Media tempatan melaporkan bahawa lokasi penemuan kepala tersebut turut disertakan dengan risalah yang dipercayai ditinggalkan oleh kumpulan penjenayah, dipercayai berkaitan kartel dadah.
Kartel dadah di Mexico diketahui sering meninggalkan mesej pada tubuh mangsa sebagai amaran kepada pesaing atau untuk menghukum individu yang didakwa melanggar 'peraturan' mereka.
Walaupun Puebla dan Tlaxcala bukanlah negeri yang sinonim dengan jenayah ekstrim, namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa penemuan mayat telah dilaporkan di sekitar sempadan kedua-dua negeri.
Keganasan ekstrem seperti pemenggalan kepala lebih biasa berlaku di negeri-negeri utara Mexico serta kawasan pantai Pasifik, di mana operasi kartel dadah lebih aktif.
Sebelum ini, pada 30 Jun lalu, pihak berkuasa menemui 20 mayat di tepi jalan di negeri Sinaloa, lima daripadanya dalam keadaan tanpa kepala.
Manakala pada April 2024, tujuh mayat dengan lima daripadanya dipenggal kepala dan seorang lagi dikerat sepenuhnya, ditemui di dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di tengah kesibukan jalan raya, lengkap dengan mesej ancaman pada setiap tubuh mangsa. -Agensi