suria

Ibu, bayi baru lahir meninggal dunia selepas proses bersalin dikendalikan ‘bidan’ tak bertauliah

Proses kelahiran perlu dikendalikan oleh petugas perubatan bertauliah bagi mengelakkan sebarang risiko. -Gambar hiasan

SEORANG pemilik rumah jagaan ditahan pada Ahad selepas didakwa mengendalikan proses kelahiran tanpa kelayakan perubatan sehingga mengakibatkan kematian seorang wanita dan bayi yang baru dilahirkannya.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Ganjam, dekat Odisha, India. 

Menurut polis, Mangulu Charan Pradhan, 35, didakwa telah mengendalikan proses kelahiran tersebut pada 11 Mei bersama dua pembantu jururawat, tanpa kehadiran doktor bertauliah.

Ketua Balai Polis Digapahandi, Prasant Kumar Patra, berkata tangkapan dibuat selepas suami mangsa membuat laporan polis.

Dua pembantu jururawat terbabit turut ditahan pada 19 Mei dan 10 Ogos kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Siasatan mendapati rumah jagaan berkenaan telah mengelirukan keluarga mangsa dengan mendakwa memiliki kemudahan lengkap dan selamat untuk proses bersalin.

Percayakan kata-kata tersebut, mangsa yang sedang sarat mengandung dimasukkan ke rumah jagaan berkenaan pada 11 Mei.

"Selepas empat jam bertarung nyawa, proses bersalin dilakukan oleh pihak tidak bertauliah tanpa kehadiran doktor.

"Bayi yang baru lahir disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian, manakala mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital," kata seorang pegawai polis.

Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan. -Agensi

Artikel Lain