PENDUDUK di sebuah kawasan kejiranan di Bedford, England dikejutkan dengan kejadian luar biasa apabila sebuah belon udara panas membuat pendaratan dramatik di tengah jalan, Sabtu lalu.
Insiden yang berlaku sekitar pukul 9.30 pagi itu disaksikan oleh beberapa penduduk yang turut sempat merakam detik cemas kejadian berkenaan.
Seorang penduduk dikenali sebagai Sam Coldham yang ketika itu sedang bersiar-siar bersama kenalan, Sian King, dan anjing mereka di Bower Street, berkata, belon tersebut kelihatan perlahan-lahan cuba mendarat di kawasan perumahan.
Rakaman video [Tonton Video] yang diambil oleh King menunjukkan detik-detik cemas ketika belon tersebut cuba mendarat di antara kereta yang diparkir dan tiang elektrik.
Beberapa orang penduduk turut dilihat segera berlari ke arah belon berkenaan bagi memberikan bantuan kepada juruterbang.
Mereka memegang dan menarik tali kecemasan supaya belon 'dibelok' ke arah kawasan yang lebih selamat, sekaligus mengelakkannya daripada melanggar rumah atau kenderaan yang berhampiran.
"Ia merupakan pendaratan yang hampir sempurna, betul-betul di antara kereta yang diparkir di tengah jalan," kata seorang lagi saksi kejadian, Georgia Balać.
Sementara itu, Kelab Belon dan Kapal Udara British mengesahkan kepada BBC bahawa belon tersebut berjaya mendarat 'tanpa sebarang insiden' dan juterbang serta penumpangnya selamat. -Agensi