suria

Tak tahan diugut, desakan kahwin... Bekas ketua kampung bunuh kekasih, kerat mayat sebelum campak di lokasi lain

Seseorang sanggup membunuh akibat hilang pertimbangan akal waras. -Gambar hiasan

SEORANG bekas ketua kampung dan anak saudaranya ditahan polis pada Rabu lalu kerana disyaki membunuh seorang wanita, memotong mayat mangsa dan membuang bahagiannya di beberapa lokasi berasingan.

Kes pembunuhan ngeri itu terbongkar selepas pihak polis menemui bahagian tubuh seorang wanita yang tidak dikenali di dalam sebuah perigi di Kampung Kishorpura, dekat Jhansi, India, pada 13 Ogos lalu.

Kepala dan kaki mangsa dilaporkan hilang ketika penemuan awal.

Siasatan lanjut mendapati mangsa ialah Rachna Yadav, 35, dari Kampung Mahewa, yang dilaporkan hilang beberapa hari sebelum kejadian.

Polis mendedahkan bahawa suspek utama, Sanjay Patel, 41, yang juga bekas ketua kampung Mahewa, telah menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa sejak dua tahun lalu.

Mangsa didakwa telah memeras wang daripada Patel dan memaksanya berkahwin.

Tidak tahan dengan tekanan tersebut, Patel didakwa berpakat dengan anak saudaranya, Sandeep Patel, 25, dan rakannya, Pradeep alias Deepak Ahirwar, untuk membunuh Rachna.

Hasil siasatan mendapati mangsa dicekik hingga mati dalam sebuah kereta pada malam antara 9 dan 10 Ogos, sebelum mayatnya dikerat menggunakan kapak.

Bahagian tubuh dan lengan mangsa dibuang ke dalam perigi di Kishorpura, manakala kepala dan kaki dicampakkan ke dalam Sungai Raivan yang terletak berhampiran.

Polis telah menemui kesemua bahagian mayat dari kedua-dua lokasi tersebut.

Sanjay dan Sandeep ditahan berhampiran empangan Lakheri dan kini direman di penjara, manakala Pradeep masih diburu. -Agensi

Artikel Lain

Ardell Aryana juga ditahan Israel