suria

Kereta baru keluar kedai rempuh Maserati, lelaki kena tanggung kos ‘repair’ dua kenderaan hampir RM60,000

Keadaan kereta Ma yang remuk teruk (kiri) dan kereta Maserati yang dilanggarnya. -Foto QQ.com

SIAPA sangka, detik menggembirakan bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang lelaki.

Kisah bermula apabila seorang lelaki dikenali sebagai Ma membuat pinjaman sebanyak 115,000 yuan (RM67,503) untuk membeli kereta terpakai.

Pada 4 Ogos lalu, Ma mengambil keretanya dari bilik pameran lalu membeli insurans komersial yang ditawarkan pada harga 3,995 yuan (RM2,345).

Namun dia bernasib malang apabila kenderaan yang dipandu merempuh sebuah kereta mewah jenama Maserati pada pukul 6.53 petang, kira-kira tujuh minit sebelum polisi insurans berkuat kuasa.

Akibatnya, kereta mewah bernilai bernilai 1.1 juta yuan (RM645,683.85) tersebut remuk teruk di bahagian hadapan, serta kemek dan calar di bahagian belakang.

Susulan itu, Ma yang berasal dari Taizhou, China, memfailkan tuntutan namun permohonannya tidak diluluskan syarikat insurans kerana tidak memenuhi syarat seperti yang termaktub dalam dokumen perjanjian.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 2 bulan pakai... Kereta mewah disembur cat merah, usahawan sedih tak dapat bawa keluarga jalan beraya

"Saya sudah membuat pengesahan beberapa kali dengan jurujual, katanya insurans akan berkuat kuasa sebaik sahaja kereta dibeli," dakwa Ma, memetik laporan Televisyen Zhejiang.

Akibatnya, dia terpaksa menanggung sepenuhnya kos baik pulih kereta yang dianggarkan mencecah 60,000 yuan (RM35,217.09) bagi kereta Maserati serta 40,000 yuan (RM23,478.06) untuk keretanya sendiri menjadikan jumlah keseluruhan 100,000 yuan (RM58,695).

"Dia sepatutnya memeriksa terma insurans dengan berhati-hati," kata pengurus jualan kereta terpakai, Lin, sambil mendakwa kereta tersebut memenuhi kriteria standard untuk dipandu secara sah di atas jalan raya.

Meskipun begitu, dia mengakui pihaknya bertanggungjawab untuk mengingatkan para pelanggan berhubung terma dan syarat yang ditawarkan.

Untuk rekod, di China, pemandu baru layak memiliki lesen sekurang-kurangnya 45 hari setelah melepasi empat jenis penilaian.

Bagaimanapun, sejarah memandu Ma tidak dapat dipastikan.

Dalam pada itu, Ma masih cuba membuat rayuan terhadap pihak terbabit, dengan Pusat Perlindungan Hak Pengguna Tempatan sebagai perantara. -Agensi

Artikel Lain