suria

Budak ketakutan ditinggalkan di tepi lebuh raya, bapa 'hukum' sebab gaduh dengan abang

Kanak-kanak terbabit menceritakan punca dia ditinggalkan kepada pempengaruh permotoran terbabit. -Foto Baidu

SEORANG bapa mencetuskan kontroversi apabila nekad meninggalkan anaknya di tepi lebuh raya.

Sewaktu kejadian, kanak-kanak lelaki yang berasal dari Zhejiang, China itu dipercayai bertengkar dan memukul abangnya di dalam kereta.

Dia kemudiannya diturunkan di tepi Lebuhraya Kebangsaan No. 219 di Wilayah Autonomi Xinjiang, China sebelum ditemui oleh seorang pempengaruh permotoran yang kebetulan lalu di lokasi berkenaan.

Mengakui bimbang dengan keadaan kanak-kanak yang berusia lingkungan tujuh tahun itu berseorangan di tepi jalan, pempengaruh terbabit cuba untuk membantu dengan mendapatkan nombor telefon keluarganya.

Malah katanya, kanak-kanak itu turut menceritakan punca dia ditinggalkan di tepi jalan kepadanya.

"Abang sulung saya menghina saya, kemudian saya memukulnya. Ayah saya berasa marah, lalu menyuruh saya keluar dari kereta," adu kanak-kanak terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Hanya Sedar Tertinggal Anak Di Hentian Rehat Selepas Memandu 40km

Dalam pada itu, menerusi rakaman video yang dikongsikan pempengaruh tersebut menyelar tindakan tidak bertanggungjawab bapa kanak-kanak terbabit dan menyifatkannya sebagai keterlaluan.

"Tindakan ayahnya sangat keterlaluan!" kata pempengaruh itu menerusi video yang dimuat naik ke platform media sosial miliknya.

Pada masa sama dia turut menghubungi bapa kanak-kanak terbabit bagi mendapatkan kepastian mengenai situasi yang berlaku.

Memetik laporan Southern Metropolis News, kanak-kanak itu dikatakan cuba menahan kenderaan untuk ditumpang.

Sementara itu, sebuah kenderaan dari Mahkamah Turpan yang ketika itu memantau situasi lebuh raya kemudian menyerahkan budak lelaki itu ke balai polis berhampiran.

Ayahnya yang dikenal pasti sebagai Wang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosial dan mengakui dia hanya memandu sejauh 1.5 kilometer, kira-kira dua minit sebelum menyuruh isterinya menjemput kembali anak mereka.

"Anak saya sering bergaduh dengan abangnya. Pada hari kejadian, saya telah pun memberi dua kali amaran, tetapi, dia tetap memukul abangnya.

"Saya berasa marah, saya hendak menakutkan dia," jelasnya.

Pada 17 Ogos, Wang sekali lagi memuat naik video terkini anaknya.

"Terima kasih kepada semua yang prihatin terhadap saya. Saya baik-baik sahaja. Orang tua saya melayan saya dengan elok dan kami sedang menikmati barbeku sekarang," ujar kanak-kanak itu sambil berdiri di hadapan sebuah gerai makan. -Agensi

Artikel Lain