suria

Tukang urut tradisional tawar servis seks tanpa pengetahuan suami demi langsai hutang

Wanita Thailand terkenal dengan urutan tradisional. -Foto Thaiger

SEORANG wanita merayu bantuan pihak kerajaan dan media selepas mendedahkan dirinya terpaksa melacur demi melangsaikan hutang 'ah long'.

Kejadian dilaporkan berlaku di Thailand.

Berdasarkan laporan, wanita berusia 49 tahun itu tampil dalam program berita Hone Krasae di Channel 3 dan mendedahkan dirinya perlu membayar faedah harian sebanyak 4,200 baht (RM560) kepada lebih 10 pemberi pinjaman sejak lebih tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia pernah mengusahakan perniagaan sendiri namun terjejas teruk akibat pandemik sehingga memaksanya membuat pinjaman antara 5,000 hingga 10,000 baht (RM652 hingga RM1,300) daripada pelbagai institusi kewangan.

Kini, hutangnya termasuk faedah telah meningkat kepada ratusan ribu baht atau kira-kira belasan ribu ringgit.

Dia yang kini bekerja sebagai tukang urut tradisional Thai, meluahkan kesedihan apabila pendapatan hariannya tidak tetap selain tidak mencukupi untuk menampung bayaran faedah pinjaman. 

Lebih membebankan, wanita itu terpaksa membuat pinjaman baharu bagi membayar hutang lama, sekali gus menjerat dirinya dengan bebanan kewangan.

Bagi menampung kos sara hidup serta sewa, wanita berkenaan mengaku turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan di kedai urut tanpa pengetahuan suaminya. 

Malah katanya, apabila gagal menjelaskan bayaran, dia terpaksa bersembunyi daripada pulang ke rumah selain mengemis makanan daripada sami.

Menerusi pendedahan itu, dia berharap agar pihak berkuasa dapat campur tangan dan membantunya berunding dengan pemiutang untuk melunaskan hutang secara berperingkat.

Setakat ini, tiada pengesahan sama ada agensi kerajaan akan mengambil tindakan lanjut. 

Walau bagaimanapun, menurut laman rasmi Bank of Thailand, individu yang terbeban dengan pinjaman tidak rasmi disaran menghubungi Pusat Pelaporan Kewangan Tidak Rasmi di bawah Kementerian Kewangan melalui talian hotline 1359 untuk mendapatkan khidmat rundingan. -Agensi

Artikel Lain