AKIBAT terlupa menarik brek tangan, seorang pemandu maut akibat tersepit antara belakang lori dan pagar zink.
Kejadian dilaporkan berlaku di tempat letak kereta di Cijin, dekat Kaohsiung, Taiwan sekitar pukul 10 pagi pada 14 Ogos lalu.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa yang juga pemandu lori berkenaan dilihat sedang melakukan kerja di belakang kenderaan berat tersebut.
Namun secara tiba-tiba ia bergerak mengundur hingga merempuh mangsa.
Rempuhan tersebut mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Liu mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala.
Menurut polis, mangsa keluar dari lori berkenaan tanpa menarik brek tangan.
Malah, saksi kejadian cuba melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.
Mangsa diberikan rawatan CPR sementara menunggu bantuan tiba di lokasi. -Foto KNEWS
Namun malangnya, lelaki berusia 55 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 petang akibat cedera parah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Siaogang.
Hasil pemeriksaan mendapati, mangsa mempunyai kesan lebam pada bahagian dada sebelah kanan, manakala rangka kanannya disyaki patah secara tertutup.
Insiden kemudian dilaporkan ke Pejabat Pemeriksaan Buruh dan proses bedah siasat turut dilakukan atas permintaan pihak pendakwa raya.
Menurut Biro Hal Ehwal Buruh Kaohsiung, majikan didakwa menyalahi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan mungkin berdepan denda antara NT$30,000 (RM4,145.31) ke NT$300,000 (RM41,453.14).
Pakar telah pun dilantik bagi membantu urusan keluarga mangsa berhubung pampasan serta sokongan berkaitan. -Agensi