suria

Suami dan BFF kantoi jalin hubungan sulit selama 5 tahun, wanita gantung kain rentang dedah kecurangan sebagai ‘penghargaan’

Orang awam berkerumun menyaksikan kain rentang yang digantung pada pagar di sebuah kompleks perumahan. -Foto Douyin

SEORANG wanita bertindak menggantung kain rentang untuk tontonan umum sebagai tanda 'penghargaan' setelah hubungan sulit rakan baik bersama suaminya sejak lima tahun lalu, terbongkar.

Kain rentang berwarna merah itu bertulis, 'Shi telah melanggar ketenteraman awam dan moral yang baik, ada hubungan sulit dengan suami kawan baiknya sendiri'.

Ia digantung di pagar sebuah kompleks perumahan di Changsha, dekat Hunan, China.

Bersama kain rentang itu, terdapat bendera kecil dipasang pada sebuah kereta, mendedahkan identiti pelaku dikenali sebagai Shi, yang dikatakan bekerja di Jabatan Kewangan sebuah pejabat Pengurusan Pelancongan di Hongshan.

Antara ayat lain yang ditulis adalah, 'Shi telah menjadi rakan baik saya selama 12 tahun dan menawarkan perkhidmatan seksual kepada suami saya selama lima tahun, 'Shi pergi ke hotel dengan suami rakan baiknya ketika waktu bekerja'.

Selang beberapa jam kemudian, kain rentang serta bendera diturunkan,

Memetik laporan The Paper, seorang staf di premis berkenaan tampil membuat pengesahan bahawa mereka sememangnya mempunyai kakitangan bernama Shi dan siasatan lanjut sedang berjalan.

Kain rentang yang tertera ayat mendedahkan kecurangan seorang wanita bersama suami orang. -Foto Douyin

Namun, identiti pasangan suami isteri berkenaan dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Sementara itu, peguam Zhao Liangshan dari Firma Guaman Shaanxi Hengda mendakwa tindakan mempamerkan kain rentang yang menarik perhatian ramai dan menghalang kawasan awam melanggar Undang-undang Hukuman Pentadbiran Keselamatan Awam.

"Mana-mana individu yang haknya dinafikan sepatutnya mencari jalan penyelesaian menerusi platform yang sah," ujarnya.

Jelasnya, perbuatan itu melanggar privasi serta mampu mencalarkan reputasi dan imej seseorang sekiranya mengandungi maklumat palsu atau berunsur fitnah.

"Pelaku mungkin berdepan amaran atau dikenakan denda sebanyak 200 yuan (RM118.45), atau ditahan sehingga 19 hari dan denda sehingga 500 yuan (RM296.11)," tambah Liangshan. -Agensi

Artikel Lain