SEORANG pekerja stesen minyak ditembak gara-gara enggan mengisi bahan api untuk dua pelanggan yang tidak memakai topi keledar.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi, Sabtu lalu di Stesen Minyak Savitri Lodhi, Madhya Pradesh, India.
Mangsa, Tej Narayan Narwaria, 55, ketika itu hanya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang melarang pelanggan tanpa topi keledar dilayan.
Tindakan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng berkenaan berang sehingga berlaku pertengkaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tembak mati isteri, tinggalkan mayat mangsa dalam kenderaan tanpa matikan enjin hampir 10 jam
Mereka kemudian beredar sebelum kembali semula dengan membawa senjata api.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pekerja lain bertempiaran lari mencari perlindungan, manakala mangsa terkena tembakan di bahagian tangan.
Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Bhind sebelum dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Gwalior, dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
Menurut pihak polis, identiti kedua-dua suspek sudah dikenal pasti melalui rakaman CCTV dan usaha memburu mereka sedang dijalankan. – Agensi