SEORANG wanita berdepan kemurungan selepas mengalami insiden memalukan apabila dua pekerja pembersihan bangunan dikatakan melihatnya tidur dalam keadaan bogel ketika sedang mencuci tingkap di kediamannya, lapor media tempatan.
Wanita tersebut dan suaminya menyewa sebuah unit mewah di Port Apartment, sebuah kawasan perumahan elit di Chengdu, wilayah Sichuan, China, dengan sewa bulanan sebanyak 10,000 yuan (sekitar RM5,925).
"Isteri saya sedang tidur dalam keadaan bogel di dalam bilik, dan dua pekerja yang sedang membersihkan tingkap unit kami kelihatan menjeling ke arahnya," kata suami mangsa yang hanya dikenali sebagai Cheng mengenai insiden yang berlaku pada 25 April lalu itu.
Cheng turut memaklumkan bahawa langsir bilik ketika itu tidak ditutup dan lampu masih menyala.
Pasangan itu menyalahkan syarikat pengurusan kediaman kerana gagal memaklumkan tentang jadual kerja pembersihan tingkap yang sepatutnya diberitahu lebih awal.
Menurut Cheng, isterinya telah menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan kebimbangan selepas kejadian berkenaan, dan disahkan mengalami masalah kesihatan mental pada Mei lalu.
Mereka telah menuntut permohonan maaf secara terbuka serta pampasan yang dianggap munasabah, namun kedua-dua tuntutan itu ditolak oleh syarikat pengurusan.
"Mereka hanya menghantar seorang pekerja dengan sebakul buah-buahan ke rumah kami untuk memohon maaf. Tiada langsung keprihatinan terhadap kesan psikologi yang dialami isteri saya," kata Cheng.
Kes tersebut mula menarik perhatian meluas warga maya di China selepas Cheng mendedahkan kisah mereka di media sosial pada pertengahan Ogos.
Rentetan daripada pendedahan itu, syarikat pengurusan baru-baru ini menawarkan diskaun sewa sebanyak 600 yuan (RM355.50) sebulan sekiranya mereka bersetuju untuk memperbaharui kontrak. Namun, Cheng menolak tawaran tersebut.
"Kami mampu bayar 10,000 yuan sebulan. Adakah kami perlukan potongan 600 yuan? Ini mencerminkan sikap tidak serius mereka dalam menangani isu ini. Kami langsung tidak berpuas hati,” tegasnya.
Setakat ini masih belum diketahui sama ada pasangan berkenaan akan berpindah atau kekal di apartmen tersebut. -Agensi