SEORANG pegawai Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) maut selepas ditembak tiga kali oleh penyerang tidak dikenali, pada Isnin malam.
Mangsa, dikenali sebagai Zetro Leonardo Purba, 40, ketika kejadian sedang berbasikal bersama isteri berhampiran kediamannya di kawasan Lince, Lima di Peru .
Difahamkan, bapa kepada tiga anak itu segera dikejarkan ke sebuah klinik berdekatan namun disahkan meninggal dunia.
Isterinya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis serta pasukan forensik tempatan telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Pihak KBRI di Lima sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri Peru mengenai insiden tersebut.
Zetro dilapor baru lima bulan memulakan tugasan di Peru selepas menamatkan penempatan di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Melbourne, Australia.
Susulan tragedi itu, Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono pada Selasa menggesa kerajaan Peru dan polis tempatan melakukan siasatan secara menyeluruh.
Beliau memaklumkan sudah berhubung dengan Duta Besar Indonesia ke Peru, Ricky Suhendar serta isteri mangsa.
Selain itu, Sugiono mengarahkan agar urusan membawa pulang jenazah ke tanah air dipantau rapat. -Agensi