suria

Jam Richard Mille berharga jutaan ringgit milik Ahmad Sahroni dipulangkan selepas dicuri ketika rusuhan

Jam milik Sahroni dipulangkan selepas dilaporkan dicuri semasa kejadian rusuhan di kediamannya.

SEUTAS jam tangan mewah jenama Richard Mille milik Ahmad Sahroni, anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR RI), akhirnya dipulangkan selepas dilaporkan dicuri semasa kejadian rusuhan di kediamannya di Tanjung Priok, Jakarta Utara pada Sabtu.

Jam tangan yang dianggarkan bernilai sekitar Rp11.7 bilion  (anggaran RM3 juta) itu telah diserahkan semula oleh ibu bapa suspek kepada wakil Sahroni, pada Ahad (31 Ogos).

"Sudah dikembalikan. Persatuan kejiranan hanya sebagai saksi. Ibu bapanya sendiri yang menyerahkan kepada Pak Sahroni, melalui wakilnya, Pak Imanuddin," kata Ketua Persatuan Kejiranan Kampung Kebon Bawang yang dikenali sebagai Sugeng.

Menurut Sugeng, pemulangan barangan mewah itu dibuat selepas ibu bapa pelaku membuat laporan kepada pihak kejiranan.

"Pelaku berasal dari Kebon Bawang. Saya hubungi ketua setempat, kami jumpa dengan ibu bapanya. Saya lihat jam itu ada bersama mereka, dan kami bawa ke pejabat kampung untuk proses penyerahan kepada wakil (Sahroni)," jelasnya lagi. 

Namun, Sugeng tidak pasti sama ada barangan lain milik Sahroni turut dipulangkan atau tidak.

Untuk rekod, rumah Ahmad Sahroni telah diserbu oleh sekumpulan individu dalam kejadian rusuhan yang berlaku pada Sabtu.

Kejadian itu berlaku tidak lama selepas kenyataan kontroversi Sahroni mengenai isu kenaikan elaun anggota DPR yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Dalam satu kenyataan pada 22 Ogos lalu, semasa lawatan kerja ke Sumatera Utara, beliau menyifatkan desakan untuk membubarkan DPR sebagai tidak masuk akal.

"Mentaliti manusia itu adalah mentaliti orang paling bodoh di dunia. Ambil perhatian, sesiapa yang hanya mengatakan bubarkan DPR adalah orang paling bodoh di dunia," katanya. 

Kenyataan tersebut mendapat reaksi negatif dan dikaitkan dengan punca serangan ke atas kediamannya. -Agensi

 

Artikel Lain