SEORANG wanita mengalami kecacatan kekal pada wajah akibat kebakaran lebih sedekad lalu diterima masuk ke universiti selepas belajar menggunakan buku-buku yang ditinggalkan anaknya.
Wanita berusia 50 tahun dikenali sebagai Yang itu menerima surat tawaran pada Julai lalu daripada Sekolah Siswazah Southwest Forestry University di Yunnan, China untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang.
Dia sebelum ini pernah menduduki peperiksaan kemasukan siswazah sebanyak dua kali sebelum berjaya.
"Saya pernah mengalami kemalangan sehingga menjadi cacat. Saya kehilangan pekerjaan dan mengalami kemurungan.
"Kini pada usia 50 tahun, saya akan memulakan perjalanan baru mengejar impian memiliki ijazah sarjana undang-undang,” katanya.
Yang, berasal dari Jining, wilayah Shandong, pernah menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang kimia di Universiti Tongji, Shanghai, pada pertengahan 1990-an.
Namun, pada 2013, kebakaran mengakibatkan kedua-dua tangannya melecur teruk, dengan lengan kiri hilang sepenuhnya fungsi manakala tangan kanan hanya tinggal separuh fungsi.
Wajahnya juga dipenuhi parut, menyebabkan dia memakai topeng apabila keluar rumah.
Disebabkan trauma dan kemurungan dia terpaksa berhenti kerja dan bergantung kepada wang pencen.
Impiannya untuk memperoleh ijazah sarjana sebenarnya sudah dipendam selama lebih 20 tahun, namun mula serius dua tahun lalu selepas anaknya gagal dalam peperiksaan siswazah.
Ketika membantu anaknya menguruskan buku ulang kaji, dia menyedari isi kandungan buku itu sebenarnya tidak terlalu sukar untuk difahami.
Sejak itu, dia mula belajar bersungguh-sungguh menggunakan bahan tinggalan anaknya.
“Semasa peperiksaan, saya diminta membuka topeng. Ada pelajar yang terkejut melihat parut di wajah saya, tapi saya sudah terbiasa dengan reaksi itu.
“Ada orang bersara untuk menari atau melancong. Hidup persaraan saya adalah untuk belajar, dan itu indah. Tidak kira pada usia berapa pun, jangan sesekali menyerah pada impian,” katanya. -Agensi