SEORANG lelaki berusia 75 tahun menembak mati isterinya, dipercayai akibat cemburu, sebelum menamatkan riwayat sendiri menggunakan senapang patah di rumah mereka.
Menurut polis, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 8 pagi Ahad dan bergegas ke sebuah kediaman setingkat milik pasangan berkenaan yang terletak mukim Klong Kiew, daerah Baan Bueng, dekat Chon Buri, Thailand.
Ketika tiba di lokasi, pihak polis menemui dua mayat dan senapang patah yang digunakan dalam kejadian itu.
Mayat warga emas yang dikenal pasti sebagai Vinat, ditemui di atas sofa dengan kesan tembakan di kepala, manakala isterinya, Napaporn, 41, ditemui di dalam bilik dengan kesan tembakan di bahagian belakang.
Siasatan awal polis mendapati, tembakan pertama dilepaskan oleh Vinat ke arah isterinya, diikuti tembakan kedua ke arah dirinya sendiri.
Polis percaya motif kejadian adalah disebabkan perselisihan faham yang didorong oleh cemburu kerana Napaporn, yang bekerja di sebuah kilang, kerap tidak pulang ke rumah pada hujung minggu. -Agensi