SEBUAH video memaparkan gelagat sekumpulan jemaah masjid menyambut Maulidur Rasul menjadi tular di media sosial, gara-gara aksi yang dianggap pelik.
Menerusi video [Tonton Video] yang dimuat naik di TikTok, kelihatan jemaah lelaki menggoyangkan badan dan kepala mengikut alunan selawat Maulid yang dialunkan secara beramai-ramai.
Lebih menarik perhatian, aksi itu digelar sebagai 'dugem', namun bukan merujuk kepada aktiviti disko atau hiburan malam, sebaliknya merupakan singkatan kepada 'duduk gemetar' (duduk sambil menggoyangkan badan atau secara berirama).
Dalam video berdurasi 42 saat itu, kelihatan para jemaah duduk bersila dalam saf, namun bergerak aktif seolah-olah tenggelam dalam alunan selawat, sambil menggoyangkan badan serta kepala ke kiri dan kanan secara serentak.
Difahamkan acara berkenaan dirakam di sebuah masjid di Aceh, sebagaimana lokasi yang dinyatakan pemilik video.
Setakat ini, video berkenaan meraih lebih empat juta tontonan dan mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Ada yang kagum dengan semangat jemaah dalam menghayati selawat, namun tidak kurang juga berpendapat amalan tersebut kelihatan janggal dan di luar kebiasaan sambutan Maulid.
"Ini ajaran apa? Tuntutan Rasulullah bukan seperti ini.
"Kalau begini, pahalanya makin gede (besar) atau bagaimana?
"Kenapa harus buat gerakan seperti itu? Bukankah yang penting adalah doanya?" demikian komen netizen.