SEORANG lelaki ditahan polis selepas didapati tinggal secara rahsia di ruang bawah sebuah kondominium pada Jumaat.
Suspek berusia 40 tahun itu dipercayai menetap di ruang sempit itu untuk tempoh yang lama kerana ia dilengkapi dengan pelbagai perkakas.
Antaranya katil, lampu, televisyen, pengecas dan pelbagai peralatan elektronik yang disambungkan menggunakan kuasa elektrik bangunan.
Lelaki itu dikenali sebagai Beniamin Bucur dan kejadian berlaku di Happy Valley, Oregon di Amerika Syarikat.
Menurut Pejabat Sheriff Clackamas County, penemuan itu dibuat selepas pemilik unit terdengar bunyi-bunyi pelik dari ruang bawah serta melihat seorang lelaki tidak dikenali keluar masuk ke bahagian belakang bangunan.
Polis turut menemui paip dengan sisa putih yang diuji positif methamphetamine, sekali gus menguatkan syak wasangka bahawa suspek menggunakan dadah ketika tinggal di situ.
Apabila diserbu, pintu ruang bawah didapati rosak dan dikunci, dengan sambungan kabel elektrik melalui saluran udara.
Selepas pintu dipecahkan, Bucur ditemui sedang bersembunyi di dalam bersama sebuah televisyen yang digantung pada palang serta lampu hiasan yang dipasang bagi menerangi ruang sempit itu.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut. -Agensi