suria

Kurus dan menang duit! Pekerja terima habuan RM13,800 selepas berjaya kurangkan berat badan 20 kg

99 pekerja berjaya menurunkan hampir 1,000 kg. -Gambar hiasan kanan

SEBUAH syarikat teknologi menawarkan ganjaran lumayan kepada kakitangan yang berjaya menurunkan berat badan.

Program tahunan dinamakan Million Yuan Weight Loss Challenge itu bertujuan menggalakkan pekerja mengamalkan gaya hidup sihat melalui diet seimbang dan senaman berkala.

Ganjaran itu ditawarkan oleh syarikat Arashi Vision Inc, yang beroperasi di Shenzhen, China.

Seorang pekerja muda, Xie Yaqi, muncul sebagai juara selepas berjaya mengurangkan 20 kilogram (kg), dalam masa 90 hari sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai 20,000 yuan (RM13,800).

“Saya percaya ini adalah masa terbaik dalam hidup untuk menjadi versi terbaik diri sendiri. Ia bukan hanya soal kecantikan, tetapi juga kesihatan,” katanya.

Menurut peraturan, peserta menerima 500 yuan (RM345) bagi setiap 0.5 kg berat yang berjaya dikurangkan. 

Namun, cabaran itu turut mempunyai klausa penalti, iaitu denda 800 yuan (RM550) bagi setiap 0.5 kg yang naik semula tetapi setakat ini tiada pekerja dikenakan denda tersebut.

Sejak 2022, syarikat berkenaan menjalankan tujuh pusingan cabaran, dengan lebih dua juta yuan (RM1.3 juta) diagihkan kepada pekerja. 

Dalam pusingan terbaru, 99 pekerja menyertai dan berjaya menurunkan hampir 1,000 kg berat badan secara kolektif.

Jurucakap syarikat berkata, inisiatif ini bukan sahaja memberi insentif kewangan, tetapi juga menyuntik semangat baharu dalam kalangan pekerja untuk lebih sihat dan produktif.

Program ini juga seiring dengan kempen nasional China iaitu Weight Management Year 2024–2026, yang digerakkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan bagi membendung kadar obesiti dan meningkatkan kesedaran kesihatan rakyat. -Agensi

Artikel Lain