POLIS menahan seorang lelaki selepas perbuatannya menyembelih kucing dan menjual daging haiwan itu sebagai 'daging kambing' terbongkar.
Suspek berusia 55 tahun mengaku membunuh lebih 100 ekor kucing dalam tempoh empat bulan dengan daging tersebut dijual sekitar kawasan perumahan.
Tindakan lelaki yang dikenali sebagai Sujadi itu terbongkar selepas video dia menyembelih kucing tular di media sosial.
Polis bertindak pantas menahan suspek pada Rabu kira-kira pukul 4.30 petang di sebuah rumah tumpangan di Kota Pagar Alam di Indonesia.
“Suspek ditangkap kurang daripada 24 jam selepas laporan diterima.
"Kami menemui barang bukti iaitu seekor kucing Angora, dua bilah pisau tanpa permit, serta kad pengenalan atas nama suspek,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Pagar Alam, Inspektor Pertama Irawan Adi Candra.
Dalam soal siasat, Sujadi mengaku mula menjalankan kegiatan ini selepas Aidiladha 2025 dengan menangkap kucing jalanan atau mencuri dari kawasan perumahan.
Suspek kes sembelih dan menjual daging kucing diberkas pada Rabu. -Foto Polisi
“Saya sudah buat kerja ini empat bulan, mungkin lebih 100 ekor kucing sudah saya sembelih dan jual dagingnya kepada orang kampung.
“Tak kira berapa banyak bungkus saya bawa, mesti habis dibeli orang. Apabila habis, saya terus cari kucing lain di kawasan perumahan untuk disembelih dan dijual semula,” katanya.
Bagi mengaburi pembeli, Sujadi mendakwa daging itu sebagai daging kambing muda, malah menambah daun limau dalam bungkusan untuk mengurangkan bau hanyir.
“Saya jual sebungkus daging kucing pada harga Rp100,000 hingga Rp120,000 (RM30 hingga RM36 sekilogram). Kalau pembeli tawar harga, saya turunkan sedikit,” katanya.
Menurut polis, helah ini berjaya menipu sebahagian penduduk yang tidak biasa dengan aroma daging.
Namun, peniaga daging di pasar enggan membeli kerana curiga dengan warna dan teksturnya.
“Saya tak pernah jual kepada peniaga pasar, sebab mereka tahu itu bukan daging kambing,” tambah Sujadi.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Undang-Undang Darurat No.12 Tahun 1951 berkaitan pemilikan senjata tajam serta Pasal 302 Ayat 2 Kanun Keseksaan mengenai penganiayaan haiwan.
Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman maksimum tujuh tahun penjara.