suria

Doktor terkejut nenek lima cucu masih ‘produktif’ pada usia 55 tahun, mampu lahirkan anak ke-17 - “Dia boleh maut akibat pendarahan”

Perancangan keluarga penting bagi mengelak terbeban dengan masalah kewangan. -Gambar hiasan

PADA usia 55 tahun, ketika kebanyakan wanita seusianya sibuk melayan cucu, seorang nenek mengejutkan ramai apabila melahirkan anaknya yang ke-17.

Kelahiran di pusat komuniti itu menjadi tumpuan penduduk kampung kerana masing-masing terhibur melihat lima cucu wanita itu menyambut kelahiran pakcik kecil mereka.

Wanita terbabit, Rekha berkahwin dengan seorang peniaga besi buruk, Kavara Ram Kalbelia dan mereka tinggal di Udaipur, Rajasthan di India.

Rekha sudah 17 kali melahirkan anak, namun lima daripadanya  iaitu empat lelaki dan seorang perempuan telah meninggal dunia selepas dilahirkan.

Kini pasangan itu mempunyai 12 anak yang masih hidup iaitu tujuh lelaki dan lima perempuan dengan jumlah keseluruhan keluarganya sekarang ialah 24 orang, termasuk menantu dan cucu.

Rekha (tengah) melahirkan anak ke-17 pada 24 Ogos lalu.Rekha (tengah) melahirkan anak ke-17 pada 24 Ogos lalu.

“Dua anak lelaki dan tiga anak perempuan saya sudah berkahwin, masing-masing sudah mempunyai anak,” kata Kavara yang mengakui bangga tetapi penat dengan keluarganya yang besar.

Keluarga Kalbelia kini merangkumi tiga generasi di bawah satu bumbung dan di sebalik kisah luar biasa ini, kehidupan mereka dibayangi kesusahan. 

Dengan pendapatan terhad, Kavara mengaku terpaksa berhutang dengan kadar faedah tinggi untuk membiayai perkahwinan anak-anak.

Menurut pakar sakit puan, Dr Roshan Darangi, pada mulanya keluarga itu mendakwa ia kelahiran keempat Rekha. 

“Kemudian terbongkar, ternyata ini sebenarnya kelahiran ke-17. Selepas ini, kami akan memotivasikan beliau untuk menjalani pensterilan,” katanya.

Dr Mukesh Garasiya pula menjelaskan Rekha dimasukkan pada 24 Ogos tanpa sebarang laporan sonografi atau ujian pra-bersalin.

“Dia boleh maut akibat pendarahan berlebihan. Dengan jumlah kelahiran sebegitu, rahim menjadi lemah dan risiko pendarahan sangat tinggi. Mujurlah kali ini semuanya selamat,” ujarnya.

Walaupun kelahiran bayi itu disambut dengan lega, ia turut mencetuskan perdebatan di kampung. 

Ada yang menganggap Rekha seorang wanita tabah, namun tak kurang juga yang melihatnya sebagai cerminan kemiskinan, buta huruf dan kurangnya kesedaran tentang perancangan keluarga di luar bandar.

Artikel Lain