ISRAEL melancarkan serangan udara menyasarkan pemimpin politik Hamas di Doha, Qatar pada Selasa malam, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik di Timur Tengah.
Amerika Syarikat (AS) menyifatkan tindakan itu sebagai serangan unilateral yang tidak sejajar dengan kepentingan bersama Washington dan Tel Aviv.
Perdana Menteri Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani menegaskan ia mengancam usaha rundingan damai yang sedang dimediasi Doha bersama Mesir bagi menamatkan konflik Gaza.
Qatar turut mengesahkan seorang anggota pasukan keselamatan dalaman terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan tersebut.
Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam tindakan Israel, manakala Pope Leo serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyuarakan kebimbangan.
Presiden AS Donald Trump berkata walaupun menganggap penghapusan Hamas sebagai matlamat wajar, dia kesal serangan berlaku di Qatar – sekutu rapat Washington dan lokasi pangkalan udara terbesar AS di Timur Tengah, al-Udeid.
Trump mendedahkan dia hanya dimaklumkan oleh tentera AS sebelum serangan berlaku.
Bagaimanapun, dia memberi jaminan kepada Emir Qatar bahawa “kejadian sebegitu tidak akan berulang di tanah mereka.”
Hamas mengesahkan lima anggotanya maut, termasuk anak kepada ketua perunding Khalil al-Hayya.
Namun, pemimpin tertinggi Hamas dilaporkan terselamat. Kumpulan itu menuduh Israel cuba membunuh barisan perunding gencatan senjata.
Serangan itu berlaku hanya sehari selepas sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tembakan di sebuah hentian bas di pinggir Baitulmaqdis yang meragut enam nyawa.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan operasi itu sebagai sepenuhnya wajar dan menegaskan era imuniti pemimpin pengganas sudah berakhir.
Israel mendakwa sasaran serangan termasuk Khalil al-Hayya, namun masih menilai sama ada pemimpin Hamas tersebut terbunuh.
Insiden ini memburukkan lagi prospek gencatan senjata di Gaza, yang sudah lebih 22 bulan bergolak sejak serangan Hamas pada Oktober 2023 yang membunuh 1,200 orang dan 251 tebusan diculik menurut angka Israel.
Israel kini berikrar menghapuskan Hamas sepenuhnya, malah menyebarkan risalah kepada penduduk Gaza City agar meninggalkan kawasan itu.
Tindakan ini mencetuskan panik dalam kalangan 2.2 juta penduduk yang semakin terdesak.
Menurut pihak berkuasa Gaza, lebih 64,000 orang terbunuh sejak perang meletus, manakala Israel berdepan tuduhan genosid oleh badan akademik antarabangsa.-Agensi