SEORANG lelaki meluahkan rasa kecewa apabila pesanan minumannya berupa smoothie avocado bertukar menjadi campuran pelik kari ayam hijau yang dikisar.
Mangsa berkongsi pengalaman itu di media sosial selepas membuat pesanan makanan melalui aplikasi atas talian.
Lelaki Thailand yang dikenali sebagai Thitiwat Koosakul itu memesan ayam panggang pedas bersama nasi dan telur rebus serta smoothie avocado.
Namun, apa yang diterima amat mengejutkan bukan sahaja smoothie dibuat daripada kari ayam hijau, malah lauk ayam panggang yang dipesan turut diganti dengan kari ayam tersebut.
“Pada mulanya saya fikir mungkin avocado jenis lain. Tapi selepas meneguk sekali, saya terus muntah. Rasanya hanyir, masin, pedas, malah ada tulang ayam masuk dalam mulut,” jelasnya.
Seorang rakan sekerjanya yang turut mencuba minuman itu juga terus memuntahkan air berkenaan.
Thitiwat cuba menghubungi pihak restoran melalui nombor tertera di aplikasi, tetapi gagal.
Dia kemudian pergi sendiri ke restoran dan diberitahu oleh seorang lelaki bahawa kedai itu milik adiknya.
Lelaki itu mengaku smoothie berkenaan memang dibuat daripada bahan kari ayam hijau, dipercayai akibat kesilapan pekerja yang tersalah mengambil bahan.
Bagaimanapun, Thitiwat mendakwa pihak restoran tidak menawarkan sebarang permohonan maaf atau pampasan.
Walaupun enggan mendedahkan nama restoran kerana tidak mahu merosakkan reputasinya, dia memilih untuk berkongsi pengalaman tersebut sebagai pengajaran.
Kisah itu pantas tular di media sosial, dengan sebahagian netizen meragui kebenarannya kerana menganggap mustahil kari ayam boleh tersalah disangka avocado.
Namun, Thitiwat menegaskan ceritanya benar dan masih menunggu penjelasan rasmi daripada pemilik restoran. -Agensi