suria

Tragis! Penjaga zoo ‘diratah’ sekumpulan singa depan pelancong

Sekumpulan singa menyerang penjaga zoo hingga maut.

SEORANG penjaga zoo maut selepas diterkam sekumpulan singa di hadapan pelancong yang hanya mampu melihat kejadian ngeri itu tanpa berdaya menghentikannya.

Menurut saksi, pada mulanya mangsa keluar dari kenderaan utiliti yang digunakan untuk rondaan di kawasan singa.

Kemudian seekor singa dilihat menghampiri dari belakang sebelum menerkamnya dan kemudian, tiga hingga empat ekor singa lain turut menyertai serangan.

Mangsa, Jian Rangkharasamee, 58, diserang ketika bertugas di Safari World Bangkok, Thailand pada Rabu kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan.

Pelancong yang berada di dalam kenderaan masing-masing hanya mampu membunyikan hon dan menjerit bagi menakutkan haiwan itu tetapi gagal menyelamatkan mangsa.

Serangan itu berlarutan kira-kira 15 minit sebelum kakitangan taman safari berjaya menghalau singa-singa tersebut.

Mangsa yang bertugas selama 30 tahun di taman tersebut segera dikejarkan ke Hospital Intrarat tetapi disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Balai Khannayao, Pol Kol Niruchphon Yothamat, berkata mangsa dipercayai melanggar peraturan keselamatan zon safari yang melarang kakitangan keluar daripada kenderaan.

“Kebiasaannya singa akan beredar apabila enjin dihidupkan. Namun dalam kejadian ini, pintu kenderaan masih terbuka dan mangsa keluar dari kereta,” katanya.

Susulan insiden itu, pihak Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan (DNP) mengarahkan zon safari ditutup sementara bagi pemeriksaan keselamatan.

Safari World dalam kenyataannya memaklumkan semua 32 ekor singa yang ditempatkan mempunyai lesen sah dan prosedur keselamatan sentiasa dipatuhi.

Bagaimanapun, kumpulan pencinta haiwan menggesa agar singa-singa berkenaan dipindahkan ke pusat perlindungan kerana haiwan tersebut tidak bersalah dan hanya bertindak mengikut naluri semula jadi. -Agensi

Artikel Lain